Thursday, October 22, 2009

Syeikh Nuruddin Al-Banjari Al-Makki dan Ustaz Hambali bercerita : Suhbat Bersama Maulana In’amul Hassan Kandahlawi rah

[Maulana+Hambali.jpg][syeikh.bmp]

Sewaktu kuliah Syeikh Nuruddin Al-Banjari Al-Makki pada Ramadhan yang lalu, beliau ada menyentuh mengenai kemuliaan Maulana In’amul Hassan rah (Amir ketiga Jemaah Tabligh). Antaranya,beliau berkata bahawa Maulana In’amul Hassan ini adalah termasuk seorang yang sentiasa berzikir sehingga zikir harian beliau mencecah 70,000 sehari semalam. Juga kata syeikh bahawa sewaktu maulana dilantik menjadi syura (Amir /Hadrat ji Jemaah Tabligh) ,orang yang memutuskan siapakah yang akan menjadi amir ketika itu ( Maulana Zakaria rah) memerintahkan setiap orang yang ada di dalam majlis berkenaan keluar melainkan dia yang pernah melihat malaikat. Akhirnya semua keluar dan yang tinggal hanyalah Maulana In’anamul Hassan rah. Beliau menangis teresak-esak kerana rahsia beliau selama ini telah terbongkar. Kisah ini Syeikh Nuruddin dengar dari Syeikh Abdul Wahab, Amir Pakistan. (Mungkin ketika beliau hadir di Ijtimak Indonesia baru-baru ini)

Maulana In’amul Hassan, Amir ketiga Jemaah Tabligh ini adalah seorang yang sangat alim khusus di dalam bidang hadis.Beliau mempelajari ilmu agama dari beberapa orang ulama terkenal di India dan juga khusus dari ulama di kalangan keluarga sendiri. Beliau termasuk seorang ulama besar India yang oleh Syeikhul Hind (Maulana Mahmudul Hasan rah) dijuluki sebagai “Gudang Mufti” dan beliau juga termasuk salah seorang guru kepada Sayyid Muhammad Alawi Al Maliki, Makkah (Al’Iqdul Farid: 16).

Sebenarnya amir-amir Jemaah Tabligh, kesemua mereka adalah dari keturunan Abu Bakar r.a yang salasilah keturunan mereka ini dijagai sehingga sekarang. Kalau kita membaca biography keturunan mereka, kita akan dapati bahawa perkahwinan mereka adalah di dalam lingkungan keluarga terdekat demi menjaga salasilah keturunan tersebut.
Seperti mana kita bertanya kepada orang-orang keturunan India yang lahir dan tinggal di Malaysia, “Kamu orang mana?”. Pasti dia akan menjawab,”Saya orang Malaysia.” Yang sebetulnya dia orang Malaysia tetapi berketurunan India. Begitu juga dengan keluarga amir-amir Jemaah Tabligh ini, mereka adalah orang India tetapi berketurunan Arab dari rumpun Abu Bakar r.a.

Pada tahun 1991, aku diberi kesempatan mengerjakan haji dan pada tahun yang sama ramai elders dari India, Pakistan dan Bangladesh ikut mengerjakan haji. Maulana In’amul Hassan juga datang mengerjakan haji berserta dengan beberapa orang dari Markaz Nizamuddin India. Ketika berada di Madinah, kami beberapa kali dijemput untuk mendengar nasihat dari ulama-ulama ini. Sewaktu berada di sebelah kiri kubur Nabi saw, aku dapati Maulana In’anul Hassan ditolak masuk di atas kerusi roda dari pintu Bab Al-Nisak yang sememangnya dibuka untuk semua jemaah masuk. Ketika ditolak masuk ke dalam Masjid oleh pembantu beliau, aku dapati semua ahli jemaah mengelak memberi laluan kepada beliau. Wajah beliau yang begitu berseri-seri menjadi tarikan ribuan jemaah dari berbagai negara ketika itu. Mereka berebut-rebut untuk bersalaman dengan beliau namun dilarang berbuat demikian disebabkan kesihatan beliau yang tidak mengizinkan. Setelah memberi salam kepada Rasulullah di kuburan, beliau akan bersolat sunat dan duduk beberapa lama menunggu solat. Kami mengambil kesempatan untuk berada bersama-sama beliau. Beberapa orang Arab yang tidak mengenali beliau bertanya kepada aku siapakah syeikh berkenaan. Aku memberitahu mereka bahawa beliau adalah seorang ulama dari India. Biasalah tidak ramai orang mengenali ulama-ulama Jemaah Tabligh kerana Jemaah ini tidak ada akhbar, pamplet ,brochures dan lain-lain. Selain itu mereka-mereka ini tidak dijemput untuk menghadiri sebarang seminar melainkan Maulana Abul Hassan Ali Nadwi rah.

Sewaktu Ijtimak Raivind, Pakistan, Maulana In’amul Hassan hadir pada hari akhir untuk berdoa. Ramai saudara-saudara Arab yang tidak pernah melihat beliau (hanya biasa dengan ulama-ulama di Markaz Raivind di Pakistan sahaja) mendekati beliau. Namun apabila mereka terpandang sahaja Maulana In’amul Hassan mereka seperti separuh gila. Apa tidaknya, wajah beliau begitu bercahaya dan menjadi tarikan sesiapa sahaja yang melihat beliau. Betul-betul di hadapan aku beberapa orang saudara dari Negara Arab ini seperti separuh gila cuba meluru mendapatkan Maulana.Namun mereka dihalang oleh petugas sekuriti dan ditenteramkan. Setelah Maulana menaiki kenderaan, ada yang cuba bergayut pada kenderaan tersebut. Begini keadaan saudara-saudara Arab yang tidak pernah melihat maulana dengan wajah yang begitu bercahaya. Ada seorang ahli jemaah dari U.S yang datang ke Markas Nizamuddin, India. Beliau seorang yang berkulit hitam yang berbadan sasa dan cukup cekap di dalam seni mempertahankan diri menceritakan, “ Aku tak pernah takut dengan sesiapa pun.Aku pasti akan lawan walaupun ia lebih besar dariku.Namun setelah aku melihat Maulana In’amul Hassan, wallahi! aku terkencing.” Cerita beliau ketika waktu rehat di Markaz Nizamuddin, India. Bayangkanlah bagaimana kehebatan sahabat-sahabat Nabi khususnya Umar r.a yang menjadi ketakutan pada musuh hanya sekadar mendengar nama sahaja.

Pada tahun 1992 aku diizinkan Allah untuk keluar lagi di India. Pada cillah (40 hari ke tiga) akhir, aku terkepung di Markaz Nizamuddin disebabkan Delhi diistiharkan curfew selama seminggu kerana Masjid Babri di Ayodoya telah diruntuhkan oleh fanatik-fanatik Hindu. Kebiasaanya seseorang itu akan berada hanya 3 hari sahaja di Nizamuddin dan akan dihantar keluar di route yang diputuskan. Namun disebabkan curfew, maka kami tinggal hampir seminggu di Markaz Nizamuddin. Ketika ini aku dan teman aku yang sedang belajar di Shaharanpur juga ikut terkepung. Kami mengambil kesempatan ini untuk berada bersama Maulana In’amul Hassan setiap hari selepas solat Asar untuk duduk berzikir bersama beliau. Belum pernah aku rasai kelazatan berzikir sepanjang hidupku sehingga kini melainkan ketika berzikir bersama beliau. Sedangkan ketika itu aku hanya berzikir dengan zikir biasa sahaja iaitu tasbih, selawat dan istighfar, namun aku terasa begitu khusyuk sekali. Mungkin kerana aku berada bersama beliau serta kesan zikir beliau tertempias kepadaku. Ini sebagaimana yang telah diterangkan oleh Maulana Zakaria rah di dalam kitab beliau,Fadhilat Zikir yang mana terkadang-kadang kesan zikir dari seseorang yang dekat dengan Allah akan memberi kesan kepada sesiapa sahaja yang berada berdekatan dengan beliau.

Aku melihat beliau sentiasa berzikir dengan mulut beliau terkumat- kamit. Beliau tidak memegang sebarang biji tasbih namun kedua-dua belah tangan kanan dan kiri digunakan untuk berzikir. Ibu jari dan jari telunjuk akan sentiasa bergerak-gerak seperti sedang mengira biji tasbih. Jika sesiapa yang datang menjumpai beliau akan dilayani namun jari-jari tangan tadi tetap akan bergerak. Sepanjang kami berzikir di dalam bilik Maulana In’amul Hassan,tidak ada orang lain kecuali aku, temanku dan seorang dua lagi maulana yang tidak kukenali. Di hujung-hujung masa iaitu sekitar 5,6 hari barulah waktu curfew itu ditarik semula oleh pemerintah. Aku lihat ramai tetamu yang datang dari jauh untuk bertemu dengan Maulana. Rupanya waktu itu adalah waktu mesyuarat syura-syura seluruh India, Pakistan dan juga Bangladesh. Kami mengambil manfaat dari mesyuarat berkenaan untuk mendengar nasihat dari beberapa elders yang datang. Ini termasuklah nasihat dari Maulana In’amul Hassan sendiri.Nasihat dari Maulana Umar Palampuri, Maulana Said Ahmad Khan dan juga Haji Abd Wahab. Kesemua nasihat mereka cukup memberi kesan kepada kami.

Aku dan teman pernah bertanya kepada Maulana Mustaqim sewaktu makan bersama beliau di Markaz Raivind, Pakistan, “Mengapa kulit Maulana In’amul Hassan putih begitu? Jawab beliau, “Maulana In’amul Hassan terkena serpihan sihir." Kata Maulana Mustaqim lagi, “ Kulit Maulana yang sebenar hanya boleh dilihat sewaktu beliau memejamkan mata,iaitu kulit di atas kelopak matanya sahaja.” Tambahnya lagi,” Jika beliau lalai sahaja daripada berzikir pasti beliau akan terkena sihir yang dihantar oleh golongan Hindu dan juga golongan “Brelwey” (Grave worshipper).

Mungkin ada orang menganggap bahawa aku terlalu fanatik dengan Maulana In’amul Hassan namun aku berani bersumpah bahawa aku tidak berani menatap mata beliau. Sekiranya beliau memandang kepada aku pasti aku akan menundukkan mataku ke bawah. Apabila beliau melihat ke tempat lain barulah aku akan menatap wajah beliau. Ini adalah kerana kehebatan yang ada pada beliau serta wajahnya yang cukup bercahaya. Saat paling aku merasa takut adalah saat seorang India tiba-tiba datang meluru kepada beliau. Entah bagaimana orang India itu boleh melepasi 3 kawalan sekuriti. Maulana tiba-tiba menengking dan orang India itu terus lari keluar dalam ketakutan. Kata kawanku,ramai orang India yang cuba meloloskan diri memasuki Markaz Nizamuddin(khususnya yang berfahaman ‘brelwey’) untuk melepaskan sihir.

Pengalaman suhbat bersama beliau benar-benar memberi kesan yang mendalam di dalam jiwaku dan cukup sukar untuk dilupakan. Apa lagi ketika itu aku berpeluang berbaiat kepada beliau. Isteriku yang keluar masturat pada tahun 1990 juga berpeluang tinggal di rumah isteri beliau selama 3 hari. Pada waktu itu wanita juga berpeluang berbaiat kepada beliau.

P/s : Bukanlah maksudku untuk mengangkat elders Jemaah Tabligh atau bersikap ‘ghulu’ terhadap Maulana Jemaah Tabligh. Namun apabila Syeikh Nuruddin Al-Banjari Al-Makki menceritakan sedemikian maka aku terpanggil untuk menceritakan juga pengalaman yang pernah kutempuhi.

No comments: