Thursday, October 1, 2009

H1N1:Iktibar kisah Nabi Musa a.s dan penyelesaiannya

Diceritakan bahawa Musa as. pernah mengeluh kepada Allah swt kerana menderita sakit gigi. Maka Allah swt memerintahkan: “Ambillah rumput orang itu dan letakkan pada gigi kamu!” Lalu Musa a.s pun berbuat demikian, maka sakitnya pun sembuh.

Beberapa hari kemudian, sakit gigi yang dialami Musa a.s datang lagi. Maka Musa a.s pun mengambil kembali rumput yang pernah diambil dulu dan meletakkan pada giginya. Hasilnya bukan bertambah sembuh, sebaliknya sakit giginya bertambah teruk dari biasa. Langsung dari itu Musa a.s pun mengadu kepada Allah swt dengan katanya, “ Wahai Tuhanku, bukankan engkau mengarahkan aku untuk berbuat demikian tetapi mengapa ianya tidak melegakan aku?”

Allah swt menjawab: “Wahai Musa, Akulah yang menyembuhkan dan Akulah yang menyihatkan. Aku yang memberi bencana dan akulah yang memberi manfaat. Kali pertama kamu datang kepadaKu dan mengharapkan pertolongan Aku, lalu Aku sembuhkan sakit kamu. Sekarang engkau menuju kepada rumput dan tidak menuju kepada-Ku.”

( Petikan dari : “Nuruzh-Zhalâm” karya Syekh Nawawi Banten dengan sedikit olahan )

Targhib :

H1N1 menjadi permasaalahan pada kita sekarang ini. Sedangkan yang menyembuh dan mendatangkan penyakit adalah Allah swt. Dia jugalah yang berhak menghilangkan penyakit selama mana kita kembali kepadaNya. Selama kita tidak medahului Allah swt, maka selama itulah kita akan mengeluh dengan segala wabak penyakit yang didatangkan.

Kalau kita langsung kepada ubat / penawar dan membelakangi Allah swt dua perkara mungkin akan berlaku.

Pertama : Sembuh dari sakit

Kedua : Akan terus menderita dengan penyakit berkenaan dan membawa kepada kematian.

Kalau kita sembuh dari sakit tersebut sekalipun namun sakit “dalaman” kita tidak akan sekali-kali sembuh. Penyakit keyakinan kepada “Ghairullah” tidak akan hilang sehingga mati. Hakikatnya penyakit ini lebih dahsyat dan berbahaya dari penyakit zahir yang kita hidapi.Bayangkanlah kalau kematian datang menjemput pada ketika ini. Nauzubillah!

Sebaliknya kalau kita menderita dengan penyakit berkenaan dan membawa kepada kematian sedangkan dalaman kita masih sihat, keyakinan kita tidak rosak. Keyakinan kepada Allah akan bertambah kuat. “Ghairullah” akan keluar dari hati kita. Kita akan mati dengan keyakinan yang kuat pada Allah swt. Mafhum dari hadith Nabi saw kita dikira mati syahid dan segala dosa-dosa akan diampunkan oleh Allah swt.

Tidak ada satu pun wabak penyakit melainkan ianya adalah di dalam ketentuan Allah. Allahlah yang mengatur semua ini maka sepatutnya kepada Allahlah kita kembali. Sebagaimana kata Ibrahim a.s ,” Apabila aku sakit maka Dialah yang menyembuhkan”. Allahlah musabibul asbab yang menjadikan segala sebab. Dan Allah juga telah menentukan bahawa sekiranya manusia melakukan amal ketaatan maka pastinya yang diturunkan oleh Allah swt adalah rahmat ,ketenangan dan keberkatan. Namun sebaliknya jika manusia melakukan amal keburukan maka pastinya yang turun adalah bala, musibah dan kesengsaraan.H1N1 adalah juga sebahagian daripada bala musibah dari Allah swt.

Firman Allah swt :
“Dan apa sahaja musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tangan-tangan kamu sendiri. Dan Allah memaafkan sebahagian besar ( dari kesalahan-kesalahan kamu ). Dan kamu tidak dapat melepaskan diri ( dari azab Allah ) di muka bumi. Dan kamu juga tidak memperolehi seorang pun perlindung dan tidak pula seorang penolong selain Allah.” ( Asy-Syura : 30-31 )

Juga Allah swt berfirman :
“ Telah zahir kerosakan ( bencana, gempa, wabak ) di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan-tangan manusia, sehingga Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari ( akibat ) perbuatan mereka agar mereka kembali.” ( Ar-Rum : 41 )

Selain itu Ibn Umar r.a pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah saw pernah bersabda :
“Wahai puak Muhajiran, terdapat lima perkara jikalau kamu babitkan diri kamu di dalamnya maka bala bencana akan menimpa kamu. Sesuatu masyarakat yang mana perzinaan merata akan terdedah kepada wabak dan penyakit-penyakit yang baru dan yang belum pernah didengari (diketahui ) sebelumnya……” ( Targhib )

Jelas dari ayat dan hadith di atas, jalan keluar adalah kembali kepada agama. Maksudnya kembali membetulkan amalan umat agar kembali kepada ketaatan kepada Allah swt. Berusaha untuk memperbaiki amalan kita semua dengan bersungguh-sungguh,juga berusaha untuk mengajak orang lain untuk memperbaiki amalan mereka. Amalan yang jelas bagi menghindari H1N1 ini adalah amalan memakmurkan masjid.

Ini disabitkan dari hadith Nabi saw, dari Anas r.a mengatakan bahawa Rasulullah saw bersabda:
“Sesunggugnya Allah swt apabila menurunkan PENYAKIT dari langit ke atas ahli bumi dipalingkan dari mereka( penyakit tersebut ) sekiranya masjid dimakmurkan.”
( Riwayat Ibn Asakir )

Untuk ini kita perlu kembali kepada kaedah asal iaitu kembali memakmurkan masjid dan surau yang terdapat di tempat kita dengan amal-amal masjid, dengan melaksanakan anjuran Nabi saw dan amalan yang telah pun dilaksanakan oleh umat awal (sahabat ra.hum) ini perlu digembeling oleh kita bersama. Nusrahlah jemaah yang datang di tempat kita serta kita sendiri keluar beberapa hari untuk berada di beberapa masjid dan surau dengan amalan memakmurkan masjdi. Yakinlah dengan cara begini Insyaallah musibah ini akan dapat dihindari pada diri, keluarga ,masyarakat dan negara kita amnya. Dalam pada itu kaedah yang ditentukan oleh pakar-pakar perubatan juga jangan kita tinggalkan sebagai jalan berusaha dan mencegah.


No comments: