Saturday, September 26, 2009

Perlukah Wanita Berkerja?



Sabda Nabi saw : “ Mencari rezeki yang halal adalah fardhu selepas daripada fardhu” (Miskat Musabbih)

“Fridhatun ba’dal faridhah…Fardhu selepas fardhu” telah dihuraikan oleh ulama hadis bahawa berusaha mencari rezeki yang halal dalam masa yang sama menyempurnakan fardhu yang maktubah. Contoh fardhu yang maktubah seperti solat fardhu, muamalat dan muasyarat ketika mencari rezeki berkenaan serta juga memelihara diri dari perkara-perkara yang diharamkan ketika keluar bekerja mencari rezeki tadi.

Syariat telah menentukan bahawa lelaki lah yang keluar mencari rezeki manakala wanita berada di rumah sesuai dengan fitrah mereka. Namun begitu bagi wanita yang ‘terpaksa’ keluar mencari rezeki bagi menampong keluarga maka syariat telah menggariskan beberapa adab agar mereka terselamat dari fitnah di luar.

Kalimat ‘terpaksa’ ini boleh dikategorikan kepada beberapa perkara :-

a) Kerana kematian suami manakala tanggungjawab memelihara anak-anak telah terpikul pada dirinya.

b) Pendapatan suami tidak dapat menampung keluarga bagi perkara-perkara asas dalam kehidupan. Bukan perbelanjaan bagi perkara bermewah-mewah.

c) Bagi wanita yang belum bersuami yang terpaksa keluar bekerja bagi memelihara ibubapa yang tua serta adik-adik yang masih kecil.

d) Bagi wanita yang “Pakar” dalam sesuatu bidang yang kepakaran itu hanya ada padanya ketika itu dan di tempat itu yang tanpanya tuntutan fardhu Kifayah tercicir, maka wajib baginya keluar bekerja. Contoh : Doktor Pakar Sakit Puan.

Namun begitu wanita yang keluar bekerja (mencari rezeki) telah ditentukan oleh syariat beberapa adab antaranya :-

a) Pekerjaan itu mestilah tidak bertentangan dengan syariat dari semua sudut samada muamalat mahupun muasyarat.

b) Pekerjaan itu mestilah bersesuaian dengan naluri wanita. Contoh : Tukang jahit, jururawat, doktor, pendidik dan lain-lain.

c) Tempat bekerjanya itu bebas dari fitnah pada dirinya. Bukan tempat yang membuka ruang fitnah padanya. Contoh: Pelayan Pub dan Karaoke walau pun pekerjaan itu sesuai dengan naluri wanita namun mengundang fitnah yang banyak.

d) Wanita berkenaan hendaklah menutup aurat yang sempurna ( mengikut syariat) supaya tidak mengundang fitnah.

e) Perjalanan pergi dan balik ke tempat kerja juga bebas dari fitnah. Contoh : tidak menumpang kenderaan ke tempat kerja bersama lelaki yang bukan mahramnya.

f) Tidak bergaul mesra dengan lelaki yang bukan mahram melainkan pada perkara penting urusan kerja.

g) Menjaga akhlak sepanjang pekerjaan tersebut.


Sekiranya garis panduan yang telah di tetapkan di atas terhasil, maka boleh lah mana-mana wanita untuk keluar bekerja. Namun sesetengah ulama mengharamkan wanita keluar bekerja sekiranya kemampuan suami telah mencukupi. Manakala perjalanan serta tempat kerjanya mengundang fitnah. Malah ada yang mengatakan haram selamanya kerana zaman sekarang ini sememangnya zaman yang penuh dengan fitnah. Manakala yang lainnya mengatakan harus sekiranya tidak ada sebarang fitnah. Namun saat-saat akhir ini memang tidak dapat mengelak fitnah.

Wallahu’alam

p/s: Namun hakikatnya rezeki mencari kita, bukan kita mencari rezeki. Malah rezeki mengejar kita mendahului maut. Maut tidak akan boleh menghampiri kita selama rezeki belum disempurnakan kepada kita. Daripada manusia sibuk membetulkan dunia (urusan rezeki) lebih baik manusia sibuk membetulkan amalan. Hasilnya bukan rezeki halal sahaja malah rezeki yang mulia (Rizqan Karim)

No comments: