Thursday, October 22, 2009

Syeikh Nuruddin Al-Banjari Al-Makki dan Ustaz Hambali bercerita : Suhbat Bersama Maulana In’amul Hassan Kandahlawi rah

[Maulana+Hambali.jpg][syeikh.bmp]

Sewaktu kuliah Syeikh Nuruddin Al-Banjari Al-Makki pada Ramadhan yang lalu, beliau ada menyentuh mengenai kemuliaan Maulana In’amul Hassan rah (Amir ketiga Jemaah Tabligh). Antaranya,beliau berkata bahawa Maulana In’amul Hassan ini adalah termasuk seorang yang sentiasa berzikir sehingga zikir harian beliau mencecah 70,000 sehari semalam. Juga kata syeikh bahawa sewaktu maulana dilantik menjadi syura (Amir /Hadrat ji Jemaah Tabligh) ,orang yang memutuskan siapakah yang akan menjadi amir ketika itu ( Maulana Zakaria rah) memerintahkan setiap orang yang ada di dalam majlis berkenaan keluar melainkan dia yang pernah melihat malaikat. Akhirnya semua keluar dan yang tinggal hanyalah Maulana In’anamul Hassan rah. Beliau menangis teresak-esak kerana rahsia beliau selama ini telah terbongkar. Kisah ini Syeikh Nuruddin dengar dari Syeikh Abdul Wahab, Amir Pakistan. (Mungkin ketika beliau hadir di Ijtimak Indonesia baru-baru ini)

Maulana In’amul Hassan, Amir ketiga Jemaah Tabligh ini adalah seorang yang sangat alim khusus di dalam bidang hadis.Beliau mempelajari ilmu agama dari beberapa orang ulama terkenal di India dan juga khusus dari ulama di kalangan keluarga sendiri. Beliau termasuk seorang ulama besar India yang oleh Syeikhul Hind (Maulana Mahmudul Hasan rah) dijuluki sebagai “Gudang Mufti” dan beliau juga termasuk salah seorang guru kepada Sayyid Muhammad Alawi Al Maliki, Makkah (Al’Iqdul Farid: 16).

Sebenarnya amir-amir Jemaah Tabligh, kesemua mereka adalah dari keturunan Abu Bakar r.a yang salasilah keturunan mereka ini dijagai sehingga sekarang. Kalau kita membaca biography keturunan mereka, kita akan dapati bahawa perkahwinan mereka adalah di dalam lingkungan keluarga terdekat demi menjaga salasilah keturunan tersebut.
Seperti mana kita bertanya kepada orang-orang keturunan India yang lahir dan tinggal di Malaysia, “Kamu orang mana?”. Pasti dia akan menjawab,”Saya orang Malaysia.” Yang sebetulnya dia orang Malaysia tetapi berketurunan India. Begitu juga dengan keluarga amir-amir Jemaah Tabligh ini, mereka adalah orang India tetapi berketurunan Arab dari rumpun Abu Bakar r.a.

Pada tahun 1991, aku diberi kesempatan mengerjakan haji dan pada tahun yang sama ramai elders dari India, Pakistan dan Bangladesh ikut mengerjakan haji. Maulana In’amul Hassan juga datang mengerjakan haji berserta dengan beberapa orang dari Markaz Nizamuddin India. Ketika berada di Madinah, kami beberapa kali dijemput untuk mendengar nasihat dari ulama-ulama ini. Sewaktu berada di sebelah kiri kubur Nabi saw, aku dapati Maulana In’anul Hassan ditolak masuk di atas kerusi roda dari pintu Bab Al-Nisak yang sememangnya dibuka untuk semua jemaah masuk. Ketika ditolak masuk ke dalam Masjid oleh pembantu beliau, aku dapati semua ahli jemaah mengelak memberi laluan kepada beliau. Wajah beliau yang begitu berseri-seri menjadi tarikan ribuan jemaah dari berbagai negara ketika itu. Mereka berebut-rebut untuk bersalaman dengan beliau namun dilarang berbuat demikian disebabkan kesihatan beliau yang tidak mengizinkan. Setelah memberi salam kepada Rasulullah di kuburan, beliau akan bersolat sunat dan duduk beberapa lama menunggu solat. Kami mengambil kesempatan untuk berada bersama-sama beliau. Beberapa orang Arab yang tidak mengenali beliau bertanya kepada aku siapakah syeikh berkenaan. Aku memberitahu mereka bahawa beliau adalah seorang ulama dari India. Biasalah tidak ramai orang mengenali ulama-ulama Jemaah Tabligh kerana Jemaah ini tidak ada akhbar, pamplet ,brochures dan lain-lain. Selain itu mereka-mereka ini tidak dijemput untuk menghadiri sebarang seminar melainkan Maulana Abul Hassan Ali Nadwi rah.

Sewaktu Ijtimak Raivind, Pakistan, Maulana In’amul Hassan hadir pada hari akhir untuk berdoa. Ramai saudara-saudara Arab yang tidak pernah melihat beliau (hanya biasa dengan ulama-ulama di Markaz Raivind di Pakistan sahaja) mendekati beliau. Namun apabila mereka terpandang sahaja Maulana In’amul Hassan mereka seperti separuh gila. Apa tidaknya, wajah beliau begitu bercahaya dan menjadi tarikan sesiapa sahaja yang melihat beliau. Betul-betul di hadapan aku beberapa orang saudara dari Negara Arab ini seperti separuh gila cuba meluru mendapatkan Maulana.Namun mereka dihalang oleh petugas sekuriti dan ditenteramkan. Setelah Maulana menaiki kenderaan, ada yang cuba bergayut pada kenderaan tersebut. Begini keadaan saudara-saudara Arab yang tidak pernah melihat maulana dengan wajah yang begitu bercahaya. Ada seorang ahli jemaah dari U.S yang datang ke Markas Nizamuddin, India. Beliau seorang yang berkulit hitam yang berbadan sasa dan cukup cekap di dalam seni mempertahankan diri menceritakan, “ Aku tak pernah takut dengan sesiapa pun.Aku pasti akan lawan walaupun ia lebih besar dariku.Namun setelah aku melihat Maulana In’amul Hassan, wallahi! aku terkencing.” Cerita beliau ketika waktu rehat di Markaz Nizamuddin, India. Bayangkanlah bagaimana kehebatan sahabat-sahabat Nabi khususnya Umar r.a yang menjadi ketakutan pada musuh hanya sekadar mendengar nama sahaja.

Pada tahun 1992 aku diizinkan Allah untuk keluar lagi di India. Pada cillah (40 hari ke tiga) akhir, aku terkepung di Markaz Nizamuddin disebabkan Delhi diistiharkan curfew selama seminggu kerana Masjid Babri di Ayodoya telah diruntuhkan oleh fanatik-fanatik Hindu. Kebiasaanya seseorang itu akan berada hanya 3 hari sahaja di Nizamuddin dan akan dihantar keluar di route yang diputuskan. Namun disebabkan curfew, maka kami tinggal hampir seminggu di Markaz Nizamuddin. Ketika ini aku dan teman aku yang sedang belajar di Shaharanpur juga ikut terkepung. Kami mengambil kesempatan ini untuk berada bersama Maulana In’amul Hassan setiap hari selepas solat Asar untuk duduk berzikir bersama beliau. Belum pernah aku rasai kelazatan berzikir sepanjang hidupku sehingga kini melainkan ketika berzikir bersama beliau. Sedangkan ketika itu aku hanya berzikir dengan zikir biasa sahaja iaitu tasbih, selawat dan istighfar, namun aku terasa begitu khusyuk sekali. Mungkin kerana aku berada bersama beliau serta kesan zikir beliau tertempias kepadaku. Ini sebagaimana yang telah diterangkan oleh Maulana Zakaria rah di dalam kitab beliau,Fadhilat Zikir yang mana terkadang-kadang kesan zikir dari seseorang yang dekat dengan Allah akan memberi kesan kepada sesiapa sahaja yang berada berdekatan dengan beliau.

Aku melihat beliau sentiasa berzikir dengan mulut beliau terkumat- kamit. Beliau tidak memegang sebarang biji tasbih namun kedua-dua belah tangan kanan dan kiri digunakan untuk berzikir. Ibu jari dan jari telunjuk akan sentiasa bergerak-gerak seperti sedang mengira biji tasbih. Jika sesiapa yang datang menjumpai beliau akan dilayani namun jari-jari tangan tadi tetap akan bergerak. Sepanjang kami berzikir di dalam bilik Maulana In’amul Hassan,tidak ada orang lain kecuali aku, temanku dan seorang dua lagi maulana yang tidak kukenali. Di hujung-hujung masa iaitu sekitar 5,6 hari barulah waktu curfew itu ditarik semula oleh pemerintah. Aku lihat ramai tetamu yang datang dari jauh untuk bertemu dengan Maulana. Rupanya waktu itu adalah waktu mesyuarat syura-syura seluruh India, Pakistan dan juga Bangladesh. Kami mengambil manfaat dari mesyuarat berkenaan untuk mendengar nasihat dari beberapa elders yang datang. Ini termasuklah nasihat dari Maulana In’amul Hassan sendiri.Nasihat dari Maulana Umar Palampuri, Maulana Said Ahmad Khan dan juga Haji Abd Wahab. Kesemua nasihat mereka cukup memberi kesan kepada kami.

Aku dan teman pernah bertanya kepada Maulana Mustaqim sewaktu makan bersama beliau di Markaz Raivind, Pakistan, “Mengapa kulit Maulana In’amul Hassan putih begitu? Jawab beliau, “Maulana In’amul Hassan terkena serpihan sihir." Kata Maulana Mustaqim lagi, “ Kulit Maulana yang sebenar hanya boleh dilihat sewaktu beliau memejamkan mata,iaitu kulit di atas kelopak matanya sahaja.” Tambahnya lagi,” Jika beliau lalai sahaja daripada berzikir pasti beliau akan terkena sihir yang dihantar oleh golongan Hindu dan juga golongan “Brelwey” (Grave worshipper).

Mungkin ada orang menganggap bahawa aku terlalu fanatik dengan Maulana In’amul Hassan namun aku berani bersumpah bahawa aku tidak berani menatap mata beliau. Sekiranya beliau memandang kepada aku pasti aku akan menundukkan mataku ke bawah. Apabila beliau melihat ke tempat lain barulah aku akan menatap wajah beliau. Ini adalah kerana kehebatan yang ada pada beliau serta wajahnya yang cukup bercahaya. Saat paling aku merasa takut adalah saat seorang India tiba-tiba datang meluru kepada beliau. Entah bagaimana orang India itu boleh melepasi 3 kawalan sekuriti. Maulana tiba-tiba menengking dan orang India itu terus lari keluar dalam ketakutan. Kata kawanku,ramai orang India yang cuba meloloskan diri memasuki Markaz Nizamuddin(khususnya yang berfahaman ‘brelwey’) untuk melepaskan sihir.

Pengalaman suhbat bersama beliau benar-benar memberi kesan yang mendalam di dalam jiwaku dan cukup sukar untuk dilupakan. Apa lagi ketika itu aku berpeluang berbaiat kepada beliau. Isteriku yang keluar masturat pada tahun 1990 juga berpeluang tinggal di rumah isteri beliau selama 3 hari. Pada waktu itu wanita juga berpeluang berbaiat kepada beliau.

P/s : Bukanlah maksudku untuk mengangkat elders Jemaah Tabligh atau bersikap ‘ghulu’ terhadap Maulana Jemaah Tabligh. Namun apabila Syeikh Nuruddin Al-Banjari Al-Makki menceritakan sedemikian maka aku terpanggil untuk menceritakan juga pengalaman yang pernah kutempuhi.

Tuesday, October 20, 2009

Dua Cerita

Assalamualaikum.Ada 2 cerita yang saya rasa bernilai untuk dikongsi untuk posting kali ini.

Cerita pertama berkenaan seorang hamba Allah yang dikenali sebagai Pak Usop.Allahyarham telah menyahut panggilan ilahi pada 10 malam terakhir ramadhan tahun ini.Beliau bukanlah seorang yang terkenal di mata masyarakat,bukanlah orang yang hebat bersyarah atau tinggi melangit ilmunya tetapi beliau seorang yg banyak khidmat untuk agama dan cukup dikenali oleh para daie(karkun) lama yang telah memulakan usaha agama di Malaysia sejak 70-80an.

Pertama kali saya melihat beliau di Masjid Sri Petaling.Tiada apa yang menarik pada beliau dan pakaiannya sama seperti karkun lain.Apa yang buat saya tertarik,setiap kali bayan(ceramah) Pak Usop akan duduk di barisan paling hadapan dan dekat dengan pembayan(penceramah).Apabila pembayan bercerita tentang syurga dan nikmatnya,beliau akan tersenyum sehinggakan bahu beliau terangkat angkat sambil mengangkat tangan berdoa.Apabila pembayan bercerita tentang neraka dan azabnya,beliau akan menangis sehingga bahunya terangkat angkat sambil mengangkat tangan berdoa. Apabila keperluan agama dibentangkan(iaitu keluar 4 bulan negara jauh), beliaulah yang pertama sekali akan bangun dan memberi nama.Begitu yakin dengan janji Allah..

Laporan dari Hj Ayub,karkun lama dari mahallah saya.Walaupun beliau merupakan orang kampung,tidak tahu berbahasa Inggeris dan tidak pandai berceramah,Allah telah hantar beliau ke seluruh dunia melalui usaha dakwah ila Allah.Semasa di England,beliau hanya tahu berkata;"No dakwah,No Islam,Get out".Dengan asbab yakin Allah s.w.t berkuasa,mahkluk tiada kuasa,yang beri hidayah adalah Allah,beliau telah mengislamkan ramai orang-orang di sana.

Pernah suatu ketika Pak Usop diinterview dan tidak terpilih untuk mengerjakan haji di Mekah.Beliau menangis dan berdoa.Dengan kuasa Allah,beliau akhirnya dipilih pada hari itu juga.Begitu tinggi keyakinan beliau kepada Allah s.w.t. dan tidak berharap kepada makhluk.

Walaupun Pak Usop kelihatan tidak berharta,tetapi Allah s.w.t telah permudahkan urusan rezeki beliau.Pernah semasa Haji Ayub berkhidmat di Masjid Sri Petaling,setiap hari Pak Usop datang kepadanya dan menghulurkan wang kertas 300usd-500usd untuk diinfaqkan dan berkata;"Allah bagi".

Beliau cuma seorang pemotong rumput dan pada waktu malam beliau akan mengambil upah memisahkan cili dari tangkainya lebih kurang 3 guni sehari. Upah bagi 1 guni ialah RM3.00 .3 guni bermakna upahnya ialah RM9.00 ringgit.Apabila diberitahu oleh seseorang bahawa upah yang diberi tidak berbaloi dengan masa yang diambil.
Kata beliau," Pada saya upahnya bukanlah keutamaan kerana setiap kali memisahkan cili saya dapat habiskan satu zikir kepada Allah. Jadi dengan kerja ini saya dapat berzikir kepada Allah sebanyak 3 guni cili pada satu malam." Allahu Akbar...

Sekarang di mana lagi kita nak cari orang seperti ini yang tidak terkenal,tinggi mujahadahnya dan banyak khidmatnya untuk agama?Semoga Allah terima Pak Usop.


Cerita kedua.Semasa usaha ini baru sampai di Malaysia,keadaan orang Islam sangat daif.Daifnya bukan kerana kemiskinan,tetapi kerana tiada kefahaman agama dan kurangnya amal ibadat sehinggakan yang bergelar alimah(ustazah) malu untuk memakai tudung.Boleh dikatakan masjid-masjid dan surau-surau di pedalaman sangat menyedihkan kerana tiada seruan azan dan tiada seorang pun jemaah untuk mengerjakan solat fardhu 5 waktu.Masjid-masjid ini malah menjadi tempat tinggal binatang dan tidak terjaga.Jadi karkun-karkun baru pada masa itu pun bermujahadah keluar ke jalan Allah s.w.t ke masjid-masjid dan surau-surau di seluruh Malaysia untuk jumpa saudara Islam dan sebarkan kalimah Laila ha illallah,ajak manusia untuk taat perintah Allah dan ikut sunnah nabi s.a.w dan membetulkan salah faham bahawa harta,masa dan diri kita adalah milik Allah s.w.t.Pada masa itu setiap karkun akan bawa alat-alat pembersih seperti penyapu dan mop kerana banyak tahi-tahi binatang seperti lembu dan kambing yang perlu dibersihkan.

Di awal usaha ini berjalan,Allah uji karkun-karkun ini dengan berbagai-bagai dugaan.Mereka dianggap sebagai pengamal ajaran sesat,dikejar dengan parang.Malah ada jemaah yang diacukan dengan senapang patah semasa ziarah dari rumah ke rumah.Ijtimak(perhimpunan) pertama yang diadakan di Terengganu pada tahun 80an dapat mengumpulkan hanya 50 000 orang sahaja tidak seperti perhimpunan baru-baru ini yang dapat menghimpunkan lebih kurang setengah juta jemaah.Pada masa itu Hadraji(amir kepada jutaan jemaah iman dan amal seluruh dunia) disekat di lapangan terbang dan disusahkan untuk masuk ke Malaysia sehingga menimbulkan kemarahan elders.Tetapi,asbab kepada mujahadah dan susah payah yang dirasai,Allah telah bangunkan usaha ini dan sebarkan hidayah ke seluruh dunia.Sehingga ke hari ini telah ramai manusia yang jauh dari agama telah pun menerima Islam di utara,timur,barat dan selatan dunia.Beratus-ratus masjid telah dibina di barat atas asbab pengorbanan mereka sebarkan dakwah illallah di sana.Masjid-masjid dan surau telah kembali hidup walaupun tiada 5 amalan masjid nabawi di zaman Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.ahum.(Dakwah ila Allah,taklim wa taklum,zikir,khidmat,khuruj fisabilillah)

Kini,apabila suasana telah berubah,manusia kembali jauh daripada agama.Usaha dakwah telah diambil ringan.Dakwah cara nabi dianggap tidak lagi sesuai dengan peredaran zaman.Setelah diperbesar dan dicantikkan,masjid-masjid dan surau-surau hanya dibuka bermula subuh sehingga isyak sahaja.AJK-AJK dilantik untuk menjaga hal ehwal masjid dan mengunci surau.Kini karkun yang datang untuk iktikaf bukan sahaja tidak diberi nusrah namun dipandang serong.Malah ada yang dihalau dan dimaki.Inikah balasan kepada mereka yang bermujahadah,tinggalkan keselesaan hidup dan menebalkan muka hanya untuk membesarkan Allah,membantu kita untuk mengajak jiran-jiran kita untuk solat di rumah Allah dan mengimarahkan rumah Allah?Inikah balasan bagi mereka yang dahulunya membuka masjid-masjid dan surau-surau yang menjadi tempat tinggal binatang?

Kepada rakan seusaha : Sekiranya anda malu untuk bagi salam dari rumah ke rumah hanya untuk bercakap tentang kebesaran Allah s.w.t,sekiranya anda malu untuk membaca kitab taklim setiap hari selepas solat di hadapan jemaah,sekiranya anda malu untuk memberikan bayan(ceramah) untuk mengajak manusia taat perintah Allah dan ikut 100% sunnah nabi s.a.w dan sekiranya anda malu untuk keluar di jalan Allah s.w.t,ingatlah hadis qudsi ini :)

"Semasa pintu syurga dibuka kelak akan ada segolongan manusia yang akan masuk syurga berbondong-bondong tanpa dihisab sehinggakan malaikat penjaga syurga tidak dapat menahan mereka daripada masuk ke syurga.Malaikat penjaga syurga tidak dapat menghalang golongan ini memasuki syurga sebagaimana kita tidak dapat menghalang kemasukan burung-burung ke dalam rumah apabila membuka jendela di waktu pagi.Allah s.w.t berfirman;"Biarlah golongan itu masuk ke syurga,Aku malu untuk menghisab mereka hari ini,kerana di dunia dulu mereka golongan yang memalukan dirinya sendiri keranaKu".

Semoga Allah mengampuni dosa kita semua.

Sila lihat;





Wednesday, October 14, 2009

Ulama-Ulama Besar Pendokong Jemaah Tabligh

1. Maulana Muhammad Ilyas Kandahlawi rah

Pencetus kembali usaha dakwah sebagaimana yang berlaku di zaman awal Islam yakni di zaman Rasulullah saw dan Sahabat ra. Beliau
berketurunan Sahabat besar Abu Bakar As Siddiq. Keluarga beliau dikenali sebagai keluarga ahli ilmu dan agama. Berasal dari Jhanjana Muzaffarnagar, Uttar Pradesh, India. Nama asal beliau adalah Akhtar Ilyas. Masa kecil beliau banyak dihabiskan di Madrasah samada Madrasah keluarga beliau maupun madarah besar di India. Beliau pernah berguru selain dari keluarga beliau yang terdiri dari bapa beliau sendiri, Maulana Yahya rah, Maulana Ismail rah. Manakala guru beliau di madrasah sekitar India ialah Maulana Abd.Rasyid Ahmad Ganggohi rah, Maulana Khalili Ahmad rah, Maulana Asyraf Ali Thanwi rah, Maulana Mahmudul Hassan rah. Dan ramai lagi yang tidak tercatit di sini. Hampir kesemua guru-guru beliau adalah pengarang-pengarang kitab muktabar serta tokoh-tokoh besar ulama benua India.

Antara kitab karangan beliau yang terkenal adalah Al Abwabul Muntakhabah min Misykatul Musabbih


2. Maulana Muhammad Yusof Kandahlawi rah.

Beliau adalah putera kepada Maulana Ilyas rah. Belaiu termasuk seorang ulama besar India. Belaiu telah memiliki karya beberapa kitab dalam bahasa A’rab. Antaranya Hayatus Sahabah dalam 3 jilid besar, Amanil Ahbar Syarh Ma’anil Atsar, Muntakhab Ahadis. Beliau juga termasuk seorang guru kepada Sayyid Muhammad Alawi Al Maliki, Makkah ( Al’Iqdul Farid :16 ).


3. Maulana In’amul Hassan Kandahlawi rah.

Beliau termasuk seorang ulama besar India yang oleh Syeikhul Hind (Maulana Mahmudul Hasan rah) dijuluki sebagai “Gudang Mufti” Beliau juga termasuk salah seorang guru kepada Sayyid Muhammad Alawi Al Maliki, Makkah (Al’Iqdul Farid: 16)


4. Maulana Zhafar Ahmad Thanwi rah.

Beliau adalah penyusun kitab I’laa Ussunan (Ahadis Ahkam, terdiri dari 21 jilid, satu jilid khusus membahaskan pentingnya bermazhab dan bantahan untuk gulongan Wahabbi dan ghoiru Muuqallid. ( Al’iqdul Farid: 15)


5. Syeikhul Hadis Maulana Muhammad Zakaria Kandahlawi rah

Seorang pakar hadis yang menulis banyak kitab, antara lain: Al Abwab Wat Tarajim Lishohihil Bukhori, Awjazul Masalik Syarh Muwathok Imam Malik 15 jilid. Syarh Syamail Tirmizi, Al I’tidal fi Maratibir Rijal serta takhrij hadis beberapa kitab. Kitab yang paling terkenal adalah Fadhoil A’mal. Beliau pernah mengajar di Madinatul Munawwaroh. (Al’Iqdul Farid : 15).Beliau menghabiskan sisa hidupnya mengajar hadith di madinah.Beliau meninggal pada 1982 dan dikebumikan di Jannatul Baqi' di sisi perkuburan Ahlul-Bait.


6. Maulana Manzhur Nu’mani rah.

Penulis kitab terkenal Inqilabu Iran (Iran Revolution) kitab yang menedahkan hakikat Revolusi Iran dan perancangan Syiah. Telah diterjemahkan dalam berbagai bahasa.


7. Sayyid Abul Hasan Ali An Nadwi rah.

Mudir Madrasah Nadwatul Ulama Lucknow, India. Bekas pemimpin Rabithah Adab Al Islami, Direktur Pusat Studi Islam Oxford dan anggota berbagai badan-badan Islam di negara-negara A’rab. Antara kitab-kitab tulisan beliau : Rijalul Fikri Wad Dakwah, Madza Khosiro ‘Alam Binhithotil Muslimin, Qashassul Nabiyyin, Sirah Nabawiyah. Beberapa kitab beliau mendapat penghargaan badan antarabangsa dan sebahagian tulisan beliau telah diterjemah dalam berbagai bahasa. Beliau juga adalah penulis kitab Biografi Maulana Muhammad Ilyas rah.



(Petikan dari kitab Meluruskan Kesalahfahaman Terhadap Jemaah Tabligh muka surat : 8- 9, Karangan Mulwi Ahmad Harun Al Rasyid , Temboro,Magetan Indonesia dengan sedikit pindaan untuk kesesuaian dalam Bahasa Malaysia)

Sunday, October 11, 2009

Tangisan Umar Bin Abdul Aziz rah

Pada satu malam, Amirul Mukminin Umar bin Abdul Aziz rah duduk setelah menunaikan beberapa rakaat solat malamnya. Sambil kedua-dua telapak tangannya diletakkan ke dahinya beliau menangis dengan esakan yang kuat diiringi dengan airmatanya membasahi pipi dan janggutnya.

Isterinya Fatimah berkata tiadalah sesaorang yang lebih takut kepada Allah swt selain suamiku. Esakan dan tangisannya seolah-olah dadanya telah terbelah. Tangisan itu berterusan sehinggalah ke Subuh. Keesokannya pula beliau akan berpuasa sepanjang-panjang hari.

Isterinya Fatimah datang mendekatinya dan bertanya dengan suara yang lembut: “ Wahai Amirul Mukminin, adakah engkau menangis kerana sesuatu dosa yang terjadi sebelumnya.” Umar bin Abdul Aziz rah menjawab, “ Ya , benar, biarkanlah aku bersendirian dengan keadaan begini wahai isteriku.”. Fatimah berkata lagi, “ Tapi wahai Amirul Mukmini ceritakanlah sedikit kepadaku.”

Umar bin Abdul Azizi berkata, “ Baiklah akan aku ceritakan kepada kamu: Sesungguhnya aku melihat pada diriku bahawa aku telah diamanahkan sesuatu tangguhjawab yang sangat besar. Aku dimanahkan untuk mentadbir umat ini samada anak-anak kecil, orang dewasa, juga yang berkulit hitam maupun yang berkulit kemerah-merahan. Setiap orang-orang gila yang hilang dari rumah kediamannya juga aku bertanggungjawab ka atasnya. Fakir miskin yang hidup melarat juga menjadi tanggung jawab aku untuk menguruskannya. Setiap tawanan perang yang hilang dari tahanan juga terpikul ke atas aku. Tangisan dan keluh kesah mereka-mereka yang sengsara di seluruh negeri , daerah dan kampung adalah amanah ke atasku untuk meyelesaikannya.”

“Aku tersangat mengetahui bahawa satu-satunya jalan keluar buat mereka adalah bilamana di dalam diri-diri mereka ada Allah dan Rasulnya.” Maka tersangat aku takut apabila Allah swt bertanya kepadaku namun pada ketika itu tidak ada satu dalih dan alasan pun untuk aku kemukakan kepada Allah atas semua amanah dan tanggung jawab ini. Juga aku malu kepada Rasulullah bilamana aku ditanyai dengan amanah dan tanggungjawab ini. Ketakutan inilah yang menyebabkan aku menangis sepanjang malam dan kehausan di siang hari. Setiap kali aku mengingati persoalan ini setiap kali itulah ketakutan mneyelubungi diriku .”

Akhirnya beliau menambah,“ Sekarang aku telah memberitahu kepada kamu semua ini dan jadikanlah ianya pengajaran dan tinggalkanlah aku sendirian.” Beliau terus menangis sehinggalah kedengaran Azan Subuh.


Targhib Dari Kisah Di Atas

Saban hari kita akan melihat berbagai berita dipaparkan di media cetak maupun media eletronik bagaimana starategi dan perancangan untuk menjawat jawatan kepimpinan, kekuasaan, pemerintahan dan sebagainya tanpa rasa takut dan gentar. Rusuhan di Thailand, Strategi gabungan parti-parti selepas Pemilu di Indonesia, keluar dewan di Terengganu, lompat melompat di Perak. Ini semua mengambarkan ketiadaan perasaan takut pada persoalan amanah dan tanggungjawab jawatan kepimpinan.

Abu Zhar Al-Ghifari ra berkata:
“ Aku bertanya kepada Rasulullah saw, “Ya Rasulullah! Mengapa engkau tidak mahu melantik aku menjadi pemimpin?” Rasulullah menepuk bahu aku dan bersabda, “Wahai Abu Zhar!, engkau lemah dan sesungguhnya jawatan kepimpinan itu adalah suatu amanah (yang ada kaitannya dengan hak-hak manusia), dan sesungguhnya jawatan kepimpinan itu (akan mendatangkan) kehinaan dan penyesalan (pada hari kiamat), kecuali orang yang memegangnya dengan (menyempurnakan) haknya serta menunaikan apa yang menjadi kewajipanya di dalam hal jawatannya itu.” ( Muslim : 4719 )

Manakala Abd.Rahman bin Samurah ra berkata bahawa Rasulullah saw pernah berkata kepadanya selaku memberi nasihat dengan katanya :
“Hai Abd.Rahman bin Samurah! Janganlah engkau meminta jawatan kepimpinan, kerana kalau kamu diberi jawatan tersebut atas permintaanmu, maka kamu akan dibiarkan (tidak diberi petunjuk atau bantuan oleh Allah swt), sebaliknya jika kamu diberi bukan atas permintaanmu, maka kamu akan dibantu ( diberi petunjuk dan bantuan dari Allah swt).” ( Bukhari : 6622 )

Selagi ketiadaan pemimpin yang hampir mirip seperti Umar bin Abdul Aziz rah selama itulah kita akan melihat perebutan demi perebutan, rusuhan demi rusuhan serta ketiadaan keadilan di dalam mana-mana pun pemerintahan. Slogannya cantik namun amalannya ‘Hampeh’.

“Na’uzubillah somma na’uzubillah.”

Monday, October 5, 2009

Kad Raya dari adik di Bumi Anbia

Di bawah ini tulisan Nadiah yang berada di Mesir, tahun ke4 jurusan perubatan di Universiti Iskandariah.

Assalamualaikum ayah,mak,abang,Dayah,Shafiq; yang dirindui selalu.Redha kan nadiah di sini,kerana sesungguhnya yang lebih penting penyatuan kita di syurga yang abadi.Ana tak dapat balik,kerana mencari redha ilahi.Alhamdulillah,talaqi Quran tinggal 3 juzuk lagi nak habis,dan boleh baca macam Arab,kelas bahasa Arab pun dah naik Mustawar(level) 5 dah,hafazan dah start surah Al-Mulk dan surah Al-Qalam.

Hari ni ana akan bertolak ke Kaherah,pulang ke Iskandariah semula sehari sebelum raya.Dalam keadaan tak ada baju raya,kuih raya atau hias rumah,Nadiah redha sebab hati ini tetap tenang.Mungkin ini berkat doa antum semua.

Besar harapan ana agar tahun depan kita dapat menyambut Ramadhan di Tanah Haram Mekah dan Madinah.Marilah berdoa bersama-sama,sekeluarga berusaha mencari redha Allah di dunia agar beroleh sejahtera di akhirat kelak.Amin..Wassalamualaikum

Thursday, October 1, 2009

H1N1:Iktibar kisah Nabi Musa a.s dan penyelesaiannya

Diceritakan bahawa Musa as. pernah mengeluh kepada Allah swt kerana menderita sakit gigi. Maka Allah swt memerintahkan: “Ambillah rumput orang itu dan letakkan pada gigi kamu!” Lalu Musa a.s pun berbuat demikian, maka sakitnya pun sembuh.

Beberapa hari kemudian, sakit gigi yang dialami Musa a.s datang lagi. Maka Musa a.s pun mengambil kembali rumput yang pernah diambil dulu dan meletakkan pada giginya. Hasilnya bukan bertambah sembuh, sebaliknya sakit giginya bertambah teruk dari biasa. Langsung dari itu Musa a.s pun mengadu kepada Allah swt dengan katanya, “ Wahai Tuhanku, bukankan engkau mengarahkan aku untuk berbuat demikian tetapi mengapa ianya tidak melegakan aku?”

Allah swt menjawab: “Wahai Musa, Akulah yang menyembuhkan dan Akulah yang menyihatkan. Aku yang memberi bencana dan akulah yang memberi manfaat. Kali pertama kamu datang kepadaKu dan mengharapkan pertolongan Aku, lalu Aku sembuhkan sakit kamu. Sekarang engkau menuju kepada rumput dan tidak menuju kepada-Ku.”

( Petikan dari : “Nuruzh-Zhalâm” karya Syekh Nawawi Banten dengan sedikit olahan )

Targhib :

H1N1 menjadi permasaalahan pada kita sekarang ini. Sedangkan yang menyembuh dan mendatangkan penyakit adalah Allah swt. Dia jugalah yang berhak menghilangkan penyakit selama mana kita kembali kepadaNya. Selama kita tidak medahului Allah swt, maka selama itulah kita akan mengeluh dengan segala wabak penyakit yang didatangkan.

Kalau kita langsung kepada ubat / penawar dan membelakangi Allah swt dua perkara mungkin akan berlaku.

Pertama : Sembuh dari sakit

Kedua : Akan terus menderita dengan penyakit berkenaan dan membawa kepada kematian.

Kalau kita sembuh dari sakit tersebut sekalipun namun sakit “dalaman” kita tidak akan sekali-kali sembuh. Penyakit keyakinan kepada “Ghairullah” tidak akan hilang sehingga mati. Hakikatnya penyakit ini lebih dahsyat dan berbahaya dari penyakit zahir yang kita hidapi.Bayangkanlah kalau kematian datang menjemput pada ketika ini. Nauzubillah!

Sebaliknya kalau kita menderita dengan penyakit berkenaan dan membawa kepada kematian sedangkan dalaman kita masih sihat, keyakinan kita tidak rosak. Keyakinan kepada Allah akan bertambah kuat. “Ghairullah” akan keluar dari hati kita. Kita akan mati dengan keyakinan yang kuat pada Allah swt. Mafhum dari hadith Nabi saw kita dikira mati syahid dan segala dosa-dosa akan diampunkan oleh Allah swt.

Tidak ada satu pun wabak penyakit melainkan ianya adalah di dalam ketentuan Allah. Allahlah yang mengatur semua ini maka sepatutnya kepada Allahlah kita kembali. Sebagaimana kata Ibrahim a.s ,” Apabila aku sakit maka Dialah yang menyembuhkan”. Allahlah musabibul asbab yang menjadikan segala sebab. Dan Allah juga telah menentukan bahawa sekiranya manusia melakukan amal ketaatan maka pastinya yang diturunkan oleh Allah swt adalah rahmat ,ketenangan dan keberkatan. Namun sebaliknya jika manusia melakukan amal keburukan maka pastinya yang turun adalah bala, musibah dan kesengsaraan.H1N1 adalah juga sebahagian daripada bala musibah dari Allah swt.

Firman Allah swt :
“Dan apa sahaja musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tangan-tangan kamu sendiri. Dan Allah memaafkan sebahagian besar ( dari kesalahan-kesalahan kamu ). Dan kamu tidak dapat melepaskan diri ( dari azab Allah ) di muka bumi. Dan kamu juga tidak memperolehi seorang pun perlindung dan tidak pula seorang penolong selain Allah.” ( Asy-Syura : 30-31 )

Juga Allah swt berfirman :
“ Telah zahir kerosakan ( bencana, gempa, wabak ) di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan-tangan manusia, sehingga Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari ( akibat ) perbuatan mereka agar mereka kembali.” ( Ar-Rum : 41 )

Selain itu Ibn Umar r.a pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah saw pernah bersabda :
“Wahai puak Muhajiran, terdapat lima perkara jikalau kamu babitkan diri kamu di dalamnya maka bala bencana akan menimpa kamu. Sesuatu masyarakat yang mana perzinaan merata akan terdedah kepada wabak dan penyakit-penyakit yang baru dan yang belum pernah didengari (diketahui ) sebelumnya……” ( Targhib )

Jelas dari ayat dan hadith di atas, jalan keluar adalah kembali kepada agama. Maksudnya kembali membetulkan amalan umat agar kembali kepada ketaatan kepada Allah swt. Berusaha untuk memperbaiki amalan kita semua dengan bersungguh-sungguh,juga berusaha untuk mengajak orang lain untuk memperbaiki amalan mereka. Amalan yang jelas bagi menghindari H1N1 ini adalah amalan memakmurkan masjid.

Ini disabitkan dari hadith Nabi saw, dari Anas r.a mengatakan bahawa Rasulullah saw bersabda:
“Sesunggugnya Allah swt apabila menurunkan PENYAKIT dari langit ke atas ahli bumi dipalingkan dari mereka( penyakit tersebut ) sekiranya masjid dimakmurkan.”
( Riwayat Ibn Asakir )

Untuk ini kita perlu kembali kepada kaedah asal iaitu kembali memakmurkan masjid dan surau yang terdapat di tempat kita dengan amal-amal masjid, dengan melaksanakan anjuran Nabi saw dan amalan yang telah pun dilaksanakan oleh umat awal (sahabat ra.hum) ini perlu digembeling oleh kita bersama. Nusrahlah jemaah yang datang di tempat kita serta kita sendiri keluar beberapa hari untuk berada di beberapa masjid dan surau dengan amalan memakmurkan masjdi. Yakinlah dengan cara begini Insyaallah musibah ini akan dapat dihindari pada diri, keluarga ,masyarakat dan negara kita amnya. Dalam pada itu kaedah yang ditentukan oleh pakar-pakar perubatan juga jangan kita tinggalkan sebagai jalan berusaha dan mencegah.