Tuesday, March 10, 2009

Perjuangan Wanita



Moga bermanfaat


Sejambak bunga yang segar jika diletakkan di atas meja untuk hiasan tentu nampak cantik dan menarik. Orang yang memandang juga akan dapat menikmati kecantikan dan kesegaran bunga yang dihias. Kerana pandainya orang yang empunya bunga, maka bunga tersebut akan menjadi perhiasan di mata ramai dan dihargai kecantikannya. Apa yang terjadi sekiranya bunga tersebut dihias di dalam tandas? Tentulah hilang kemegahannya sebagai bunga yang dipuja kecantikannya dan pastinya orang akan mengatakan alangkah tidak siumannya atau kurang akal bagi orang yang tidak pandai menghargai bunga secantik itu lalu diletakkan di tempat yang sehina itu.


Wanita ibarat bunga, antara perhiasan dunia yang amat memikat hati lelaki. Sebagaimana hadis Rasulullah saw bermaksud:

"Dunia itu perhiasan dan sebaik-baik perhiasannya itu ialah perempuan yang solehah (perempuan yang baik tentang agama, akhlak, rumahtangga, pergaulan dan sebagainya)." Riwayat Muslim

Sesuatu perhiasan yang disayangi dan mahal harganya seperti batu permata tentulah akan diletakkan di tempat yang terpelihara atau tersembunyi agar pencuri tidak berpeluang mengambilnya. Walaupun didedahkan di hadapan umum pastilah akan diletakkan di dalam kawalan rapi agar terpelihara keselamatannya. Lebih tinggi nilai perhiasan tersebut semakin ketatlah kawalan yang akan dibuat dan semakin sulitlah untuk mendapatkannya.

Begitulah juga sepatutnya wanita. Wanita Allah ciptakan berbeza daripada lelaki.Perbezaan fizikal dan fitrah yang Allah jadikan antara lelaki dan perempuan itu pasti ada tujuan dan maksudnya. Tidak lain dan tidak bukan agar terbezanya tugas antara kedua makhluk Allah itu.

Wanita Allah anugerahkan dengan sifat-sifat tertentu seperti pemalu, lemah-lembut, penyabar,halus, kuat perasaan, mempunyai fizikal yang lemah, pendek akalnya dan sebagainya. Semuanya itu mempunyai maksud, iaitu untuk menyeimbangi lelaki yang Allah jadikan kuat fizikalnya, panjang akalnya, kasar,tegas tingkah lakunya dan sebagainya.

Dengan sifat lemah lembut dan sabar yang dimiliki oleh seorang wanita menyebabkan ia mampu melayan ragam anak-anak; mampu berdepan dengan suaminya dengan baik. Halus perasaannya membolehkan ia cepat memahami hasrat dan masalah yang dialami oleh suaminya. Sifat halus membolehkan wanita mampu melakukan kerja-kerja remeh seperti menjahit, menyulam, memasak dan menghias rumahtangga. Sifat sabar membolehkan wanita melakukan kerja-kerja yang berulang-ulang atau sama setiap hari seperti memasak, membasuh, mengemas rumah dan sebagainya tanpa rasa jemu. Kurang akalnya wanita menyebabkan mereka suka menjadi orang yang dipimpin; lemah dari segi fizikal menyababkan mereka memerlukan seorang lelaki sebagai pelindung diri.

Justeru itu, Allah yang menciptakan kita, tentunya Dia Maha Mengetahui di mana lebihnya wanita dari lelaki, untuk dimanfaatkan; dan di mana kurangnya wanita di sisi lelaki agar kekurangan itu boleh diisi oleh lelaki. Oleh kerana itu Allah tidak membebankan wanita dengan tugas yang berat-berat yang mana hanya akan menyukarkan wanita untuk melaksanakan dua tugas dalam satu masa.

Sebagai bukti kasih sayang-Nya, Allah tidak bebankan wanita mencari nafkah, tidak disuruh membanting tulang empat kerat yang lemah untuk tujuan itu; semuanya itu tanggungjawab lelaki.

Persamaan hak di sisi Allah antara lelaki dan wanita, itulah persamaan hak yang patut dituntut dan dijadikan impian setiap wanita. Allah sendiri menyatakan di dalam Al Quran yang Ia tidak melebihkan seseorang dengan seseorang yang lain melainkan dari segi taqwanya. Begitu juga Allah tidak membezakan jantina samada lelaki dan perempuan; semuanya sama pada pandangan Allah sekiranya mereka beriman dan bertaqwa. Firman Allah yang membawa maksud:

"Barangsiapa yang mengerjakan kebajikan, baik lelaki atau perempuan sedangkan dia orang yang beriman maka mereka itu akan masuk ke dalam syurga dan tidaklah mereka teraniaya sedikit pun." An Nisa: 124

"Barangsiapa yang beramal soleh lelaki mahupun perempuan sedangkan ia beriman pula maka mereka akan masuk syurga serta mendapat rezeki di sana dengan tiada terhingga." Mukmin: 40

Tugas mengandung, bersalin, mengurus rumahtangga,melayan suami, mengurus dan mendidik anak-anak sudah cukup berat dan sukar untuk dilakukan oleh seorang wanita yang lemah.Dan kerana itulah Allah mengambil kira apa yang dilakukan oleh wanita itu sama pahalanya dengan lelaki yang bergelanggang di luar rumah. Hatta dalam hadis-hadis Rasulullah s.a.w jelas menyebut bahawa wanita yang memcuci pakaian suami dan anak-anaknya, diberi pahala; wanita yang memasak makanan dan menghiris bawang sampai keluar air matanya juga mendapat pahala di sisi Allah; wanita yang bangun malam kerana mengurus anaknya seperti menyusu dan menyalin lampin mendapat sama pahala dengan lelaki yang berjihad di jalan Allah. Pendek kata setiap pekerjaan yang dilakukan oleh wanita di dalam rumahtangga walaupun terlindung daripada pandangan orang lain, semua itu akan dikira dan dinilai oleh Allah. Walaupun perkara yang dibuat itu untuk kesenangan dan keselesaan dirinya sekeluarga,tetap dikira ibadah selagi ia melakukan
kerja-kerja itu kerana memenuhi tuntutan Allah, yakni mencari keredhaan Allah s.w.t.

Wanita itu walaupun di sisi manusia ia mungkin tidak terkenal sebagai seorang ahli profesional yang hebat,atau sebagai tokoh politik yang boleh menggegarkan negara atau seorang pakar dalam ekonomi dunia, atau apa saja bidang yang dimuliakan dan dianggap istimewa oleh manusia, tetapi di sisi Allah dia dikenal dan dimuliakan malaikat, para roh orang-orang soleh dan wali-wali Allah, segala makhluk Allah di darat dan di laut sentiasa mendoakan keselamatan dan keampunan untuknya. Sehingga kerana itu dia menjadi kecintaan para kekasih Allah di alam malakut. Sementara di bumi nyata dia dikasihi oleh anak-anak, suami, jiran-jiran dan kaum keluarganya kerana khidmat dan kasih sayang yang dicurahkan pada mereka. Walaupun ia tidak
memiliki ijazah yang tinggi melangit, pangkat, nama, tetapi tempat kebesaran telah pun menunggunya di akhirat.

Itu semua dapat dicapai dengan melakukan tugas yang sudah sesuai dengan fitrah wanita dan sudah cukup untuk menjadikan syarat wanita diberi hak yang sama dengan lelaki di akhirat kelak.

Sebaliknya..

Wanita kini meminta di dunia supaya mereka disama-tarafkan dan minta diberi hak yang sama dengan lelaki dalam semua bidang. Lelaki menjadi menteri mereka
juga mahu menjadi menteri, mahu menjadi polis, tentera, hakim, jurutera, pegawai eksekutif dan sebagainya.Ataupun mereka mahu terlibat dalam acara-acara yang dimonopoli oleh lelaki, seperti bermain bola sepak, menunggang basikal dan sebagainya dengan alasan mereka patut diberi kesempatan untuk melakukan apa yang mampu dilakukan lelaki. Kononnya mahu jadi srikandi pejuang bangsa. Mereka mendakwa kaum wanita juga mampu melakukan apa yang lelaki boleh lakukan.Sekiranya mereka tidak dibenarkan terlibat di bidang yang sememangnya diperuntukkan untuk lelaki katanya mereka telah dianak-tirikan, didiskriminasi dan bermacam-macam bantahan lagi.

Mereka tidak sedar bahawa apabila mereka meletakkan diri di dalam bidang yang tidak sesuai dengan fizikal dan fitrah mereka, maka mereka terpaksa mengorbankan perasaan kewanitaan demi untuk menyesuaikan diri dengan tugas yang dipegang. Hal ini adalah bertentangan dengan fitrah mereka, mengabaikan tugas-tugas asas sebagai wanita terhadap anak-anak, suami dan rumahtangga, seterusnya mendedahkan diri mereka kepada pergaulan bebas antara lelaki dan wanita, mendedahkan aurat dan terdedah kepada sifat keangkuhan, sombong dan bangga diri dengan jawatan atau kedudukan yang mampu mereka capai. Jadilah mereka sepertimana bunga yang diletakkan di dalam tandas tadi. Hilanglah keindahan mereka sebagai seorang wanita. Jeleklah mereka pada pandangan penghuni langit, sekali pun mereka boleh beribadah seperti ibadah para Nabi. Apatah lagi kalau mereka sampai melanggar perintah Allah, dilaknat ke atas mereka oleh setiap makhluk Allah di darat dan di laut.

Umpamanya, seorang wanita yang jadi menteri, tentulah terpaksa melayan rakyatnya yang terdiri daripada kalangan orang lelaki dan wanita. Jadi menteri terpaksa diiring ke sana ke mari oleh lelaki yang bukan suaminya. Ataupun kalau di rumah sering didatangi oleh lelaki yang menjadi rakyatnya dengan hajat itu dan ini.Ketika itu bagaimana perasaan si suami melihat isterinya berbincang dan berjumpa dengan lelaki-lelaki lain.

Begitulah hina dan malangnya lelaki atau suami yang gagal meletakkan wanita di tempat yang sepatutnya. Sebaliknya berbahagialah lelaki atau suami yang pandai meletakkan wanita di tempatnya. Rasulullah saw bersabda:

"Tidaklah yang memuliakan wanita, kecuali orang-orang yang mulia, dan tidaklah menghinakan wanita kecuali orang-orang yang hina."

Oleh itu sekiranya seorang wanita hendak menuntut hak yang sama di sisi Allah dengan lelaki, ia mestilah melakukan tugas yang sesuai dengan fizikal dan fitrah kejadian wanita. Yakni tugas yang tidak memerlukan dia setaraf dengan seorang lelaki. Dan tentulah dalam melaksanakan tugas yang sesuai dengan fizikal dan fitrahnya itu syariat lahirnya juga dapat dijaga. Ibadah-ibadah asasnya seperti solat dan puasa dikerjakan sungguh-sungguh. Ibu bapa ataupun suami ditaati dan maruah diri dipelihara daripada tercemar. Maka wanita itu akan dimuliakan dan diberi pangkat yang tinggi di sisi Allah seperti mana hadis Rasulullah yang menyebut seorang wanita solehah lebih baik dari seribu lelaki yang tidak soleh.

Marilah kita berusaha untuk merebut pangkat dan kemuliaan di akhirat. Kerana pangkat dan kemuliaan akhirat itulah yang boleh dibanggakan dan boleh memberi kebahagiaan yang berkekalan. Sedangkan pangkat dan kemuliaan dunia(paling lama boleh dibanggakan sehingga berumur 60 tahun) sudah banyak melalaikan dan membuat manusia lupa pada Tuhan, menjadikan mereka akan dibangkitkan hina dina di akhirat kelak. Azab neraka yang dahsyat akan menunggu-nunggu untuk memamah tubuh-tubuh mereka yang berdosa dan angkuh dengan kebolehan diri.

Itulah sebenarnya yang mereka perjuangkan di dunia dulu yakni syurga dunia tetapi api neraka di akhirat. Rugilah perjuangan yang begitu.